Karpal diminta usah polemikkan isu sambutan Hari Kekasih
14 Februari 2012
Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, Karpal tidak perlu mempersoalkan pendirian Pas kerana mereka tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam daripada meraikannya.
“Pemuda Pas konsisten dalam menegaskan isu ini kerana ia bukanlah ajaran Islam, tetapi kita tidak larang orang bukan Islam menyambutnya.
“Apa yang menjadi fokus adalah umat Islam terutamanya generasi muda. Orang Islam punya cara tersendiri meraikan kasih sayang antara suami isteri dan kekasih. Tidak perlu ada hari tertentu untuk meraikannya,” katanya di Ibu Pejabat Pas, semalam.
Katanya, sebagai parti memperjuangkan Islam, pihaknya bertanggungjawab menentang sambutan itu terhadap umat Islam.
Pendirian itu turut disokong oleh Timbalan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Ahad lalu, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih bukanlah satu pendirian yang baik.
Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan Pas yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan.
Beliau juga menggesa Pas menarik balik pendirian tersebut sebelum 14 Februari.
Menurut Nasrudin, Pemuda Pas sentiasa menghormati hak orang lain dan mereka tidak akan campur tangan dalam urusan agama lain, sebaliknya mereka menegur sikap golongan muda Islam yang meraikan sambutan Hari Kekasih.
“Jika Karpal mahu bercakap soal hak asasi dan hak individu dalam meraikan sesuatu sambutan, maka beliau juga perlu menghormati umat Islam yang terikat dengan tatacara digariskan dalam Islam. Itu yang kita tegaskan dan Karpal perlu memahami perkara ini,” katanya.
Katanya, Majlis Fatwa jelas menyatakan umat Islam dilarang meraikan sambutan Hari Kekasih itu kerana ia bukan daripada ajaran Islam.
Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah
membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day.
Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih
sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan
Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan
tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur
dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
No comments:
Post a Comment