Tuesday 24 April 2012

Daftar pemilih: Nurul Izzah didakwa edar surat palsu


Daftar pemilih: Nurul Izzah didakwa edar surat palsu
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional Bahagian Lembah Pantai menyelar tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang didakwa mengedarkan surat maklumat palsu berhubung status daftar pemilih kepada 30 penduduk Perumahan Awam Seri Pahang, Bangsar, di sini.

Setiausaha Penyelaras BN Bahagian Lembah Pantai, Datuk Mohamad Sazali Kamilan berkata, pihaknya menerima aduan penduduk pada petang semalam yang mana surat tersebut dimasukkan ke dalam peti surat penduduk.

Menurutnya, semua yang dinyatakan Ahli Parlimen berkenaan dalam surat tersebut tidak benar apabila semakan yang dilakukan mendapati nama penduduk terlibat masih ada dalam daftar pemilih.

“Terdapat juga surat dihantar atas nama penduduk yang sudah meninggal dunia.

“Penduduk yang menerima surat tersebut juga terkejut dan bertindak membuat laporan polis malam tadi,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, tindakan itu dilihat sebagai strategi meraih sokongan bagi perhimpunan Bersih 3.0, Sabtu ini.

Katanya, ia hanya untuk mengelirukan pengundi dan surat yang ditujukan kepada orang yang sudah meninggal dunia membuatkan keluarga si mati merasa terhina.

Penduduk, Kamarudin Dali, 40, yang menerima surat berkenaan berkata, sebelum surat berkenaan diterimanya, dia terlebih dahulu sudah membuat semakan di SPR dan namanya masih dalam daftar pemilih di Lembah Pantai.

“Saya terkejut apabila menerima surat tersebut dan pada saya, adalah lebih baik perkara mengarut ini dihentikan kerana ia akan menyusahkan semua orang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Rafie Ayob, 53, berkata, surat sama yang diterimanya adalah atas nama isterinya, Sawiah Manap yang sudah meninggal dunia.

“Bagaimana dia boleh berbuat demikian sedangkan isteri saya sudah meninggal dunia, sudah tentu namanya sudah tiada lagi. Perkara ini mengganggu emosi anak saya sekeluarga,” katanya.

Surat bertarikh 16 April itu diterima penduduk kira-kira jam 5 petang kelmarin menyatakan pihak Nurul Izzah mengadakan penyelidikan dan mendapati penama disenaraikan sebagai pengundi Lembah Pantai pada 2008 namun dalam daftar pemilih terkini, penama sudah tiada dan spesifiknya telah dibuang daripada daftar pemilih.

BN Lembah Pantai juga tidak menolak kebarangkalian dituduh menjadi dalang dalam hal itu dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan.

2 comments: