Najib: 7 dosa besar pembangkang terhadap rakyat dan umat Islam
                                 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
                                
                                Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
                                 
TANAH MERAH - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat supaya menolak
 Pakatan Rakyat (PR) termasuk Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 
ke-13 (PRU13) kerana mereka telah melakukan tujuh dosa besar terhadap 
rakyat dan umat Islam di negara ini.
   
 Perdana Menteri menggariskan, antaranya dosa parti Pas ialah 
membenarkan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam, gagal menunaikan 
janji kepada rakyat Kelantan, membenarkan pemimpin DAP secara rakus 
membotakkan kawasan di Tanah Tinggi Lojing serta mempermainkan matlamat 
perjuangan Pas sendiri.
   
 "Dosa Tian Chua (Naib Presiden PKR) terhadap isu di Lahad Datu dan 
tahaluf siyasi (kerjasama politik antara Pas, PKR dan DAP) merupakan 
antara tujuh dosa besar pembangkang terhadap rakyat.
   
 "Kalau saya dahulu mengumumkan tujuh perkara untuk rakyat Kelantan, 
kini tujuh dosa besar mereka yang ambo nok sebut hari ini," katanya pada
 Majlis `Bekwoh' Rakyat Bersama Perdana Menteri di Sekolah Menengah 
Tanah Merah 1 di sini, hari ini.
   
 Turut hadir Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; 
timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengerusi MCA Kelantan Datuk 
Seri Dr Ng Yen Yen.
 Kira-kira 50,000 rakyat hadir pada majlis tersebut.
   
 Menyentuh mengenai Pas mempermainkan matlamat perjuangannya, Najib 
berkata, sebelum ini parti itu mahu melaksanakan hukum hudud di negara 
ini tetapi demi politik dan takut kepada DAP, akhirnya mereka telah 
mengubah kepada dasar negara berkebajikan.
   
 Katanya, jika dahulu Pas menghentam cara Barisan Nasional (BN) 
berkongsi kuasa dengan parti lain tetapi kini mereka juga mengambil 
langkah yang sama dengan DAP dan ia jelas membuktikan sikap sebuah parti
 yang berubah-ubah demi mahukan kuasa.
   
 Beliau berkata kehadiran besar rakyat Kelantan pada majlis itu 
membuktikan mereka telah bersedia pada bila-bila masa untuk menolak Pas 
pada pilihan raya umum kali ini.
   
 "Kita mahukan transformasi bukan reformasi. Transformasi 
mensejahterakan rakyat. Transformasi bawa rahmat pada rakyat," katanya.
 
 Perdana menteri berkata, cara bijaksana kerajaan mentadbir negara telah
 menjadikan negara ini makmur dan sebagai bukti ekonomi negara telah 
mencapai pertumbuhan kepada 6.4 peratus.
   
 "BN cukup cakna kepada masyarakat. Cukup sengoti buat bermacam-macam 
demi faedah rakyat dan oleh itu yakin dan percayalah apa yang kita buat 
ini adalah yang terbaik untuk mensejahterakan rakyat," katanya.
   
 Beliau berkata tidak seperti pembangkang yang berjanji dalam manifesto yang dianggap seperti penjual ubat tepi jalan.
   
 "Satu ubat semua boleh sembuh. Kita bukan mahu mengundi orang yang 
petah berkata-kata tetapi pilihan raya adalah untuk rakyat memilih 
kerajaan yang benar-benar boleh berjasa kepada negara.
   
 "Dan oleh itu yakinlah kepada BN," katanya.
   
 Najib berkata kehadirannya untuk merasmikan Majlis Pecah Tanah Program 
Perumahan Rakyat di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, adalah mencerminkan 
ketelusannya kepada rakyat melalui slogan 'Janji Ditepati'. -